Dapur Kak Nonie · Resepi

Resepi: Murtabak Mini Kulit Popiah

Assalamualaikum. Hai!

Salam 15 Ramadhan untuk semua umat Islam. Tahun ini kita menyambut Ramadhan dengan suasana yang amat berbeza. Tidak seperti tahun-tahun sebelum ini, Ramadhan disambut meriah dengan pelbagai juadah dan bazaar Ramadhan sentiasa mendapat kunjungan saban tahun.

Kami juga tidak terkecuali menjadi pengunjung bazaar. Kadangkala ada juadah yang lebih mudah dibeli untuk keluarga kecil kami. Walaupun menu yang dimasak sendiri sentiasa menjadi pilihan utama, kami tetap membeli apam balik atau murtabak.

Selain dari tidak berbaloi untuk mengerah tenaga memasak sekeping apam balik untuk dikongsi bertiga, dengan membeli juga dapat membantu ekonomi peniaga. Tidak semua rezeki atau wang itu hak milik kita. Mungkin akaun bank atau kocek kita hanya menjadi tempat persinggahan sementara sebelum ianya berpindah tangan kepada peniaga. Sekali-sekala tidak salah berkongsi asalkan tidak berlebihan hingga membazir pula.

Namun tahun ini sangat sederhana sambutannya. Tiada lagi tempat kami membeli murtabak kegemaran. Jadi terpaksalah kami buat sendiri menggunakan sumber dan bakat yang ada. hahaha…

Murtabak mini ini sangat mudah disediakan. Tidak perlu menguli tepung kerana hanya kulit popiah digunakan sebagai kulit murtabak. Kami menggunakan kulit bersaiz paling besar. Brand KG pastry menjadi pilihan kerana tidak mudah koyak dan rasanya yang tidak terlalu masin. Bahan-bahannya juga mudah didapati.

Bahan yang sudah siap dipotong mengikut kesesuaian

Untuk resepi kali ini tak gunakan kentang kerana suami tak suka kentang dalam murtabak. Jadi murtabak kami tambahkan lebih telur untuk mengimbangkan rasa rempah. Saya juga suka menambah udang geragau untuk memberikan rasa unik dan sedap. Banyak masakan saya seperti sos dan inti popiah, karipap dan juga mee bandung dimasukkan sedikit udang geragau ketika menumis. Cara membuatnya juga mudah seperti menumis inti karipap.

  • Panaskan minyak secukupnya untuk menumis. Disini akak guna minyak sapi@vanaspati. Selain memberikan aroma yang enak, rasanya juga lebih sedap berbanding minyak masak biasa. Setelah minyak panas, masukkan bawang putih. Tumis sehingga naik bau. Masukkan pula bawang besar yang telah dipotong dadu.
  • Setelah kuning keemasan masukkan pula udang geragau. dan tumis garing.
  • Masukkan serbuk kari diikuti setengah cawan air. Pastikan api perlahan untuk mengelakkan rempah hangit. Tumis lagi sehingga pecah minyak.
  • Setelah itu boleh masukkan isi ayam yang telah dicincang halus. Boleh juga gunakan ayam kisar yang sedia dibeli di pasaran.
  • Apabila hampir masak, masukkan kentang dan setengah cawan lagi air untuk mengempukkan kentang. Masa yang diambil tidak terlalu lama. Petua untuk menjadikan kentang cepat empuk ; jangan masukkan garam sebelum atau semasa kentang belum empuk.
  • Setelah kentang empuk, masukkan daun sup dan daun bawang. Perasakan garam dan gula mengikut citarasa.
Inti yang siap ditumis
  • Inti ini kemudiannya dicampurkan dengan telur dan dikocok. Lalu bolehlah mula membalut murtabak.
  • Untuk kulit, akak hanya menggunakan sekeping kulit untuk 1 murtabak. Letakkan cheese, di ikuti dengan campuran inti tadi, dan balut bentuk segi empat.
  • Bolehlah goreng murtabak menggunakan non-stick pan dengan api sederhana. Lebih kurang 2 minit untuk sebelah sebelum dibalikkan. Akak tambah sedikit lagi minyak sapi ketika menggoreng
  • Untuk frozen, cukup hanya sekadar separuh masak. Tidak perlu terlalu garing. Sejukkan ke suhu bilik sebelum disimpan kedalam peti ais beku. Lebih elok jika setiap lapisan dipisahkan dengan plastik atau baking paper supaya tidak melekat antara satu sama lain. Nak gambaran lebih jelas, sama seperti lapisan daging burger.
Murtabak cheese mini

Beginilah rupa isi murtabak cheese yang telah siap. Senang juga bila buat saiz mini ni. Tak perlu dipotong untuk dimakan. Bolehlah dihidangkan bersama kuah kari atau bawang jeruk.

Untuk kami, hanya makan begitu sahaja sudah cukup menyelerakan. Abang sorang dah makan 8 keping semasa berbuka. Suka betul dia.

Selamat mencuba!

Assalam.

#dapurkaknonie


Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Google photo

You are commenting using your Google account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s