Dapur Kak Nonie · Resepi

Resepi: Puding Karamel Sukatan Cawan

Assalammualaikum. Hai!

Hari ni Akak nak kongsi resepi pencuci mulut yang sangat senang disediakan dan juga enak dimakan terutama sekali ketika berbuka puasa. Sesuai juga dijadikan pencuci mulut untuk disajikan kepada tetamu pada Syawal yang bakal menjelma.

Walaupun Akak tidak menerima sebarang tetamu mahupun keluar berkunjung kemana-mana, namun juadah hari raya tetap akan disediakan untuk kami bertiga. Jangan dinafikan hak anak untuk meraikan hari kemenangan setelah sebulan berpuasa.

Resepi ini Kak Nonie mula buat ketika berada di Tingkatan 3. Sebelum itu, ia hanya akan dinikmati di bulan Ramadhan apabila Ayah beli di bazaar. Itupun kami hanya berkongsi beberapa potong sekeluarga. Bahagian utama adalah untuk Mak Kak Nonie. Kami adik-beradik memang dilatih begitu. Hormat dan muliakan yang tua terutama sekali Mak kita. Bila dah dikatakan bahagian itu untuk Mak atau Ayah, tiada siapa yang akan berani menyentuh sehinggalah diberikan kebenaran sendiri oleh tuan punya badan.

Nilai ini Akak cuba terapkan juga pada anak. Walaupun agak mencabar mendidik generasi sekarang, Alhamdulillah sedikit sebanyak nampak hasilnya. Didikan yang bermula dari rumah insyaAllah menjadi nilai jati diri yang dibawa hingga dewasa.

Berbalik kepada resepi tadi,  Akak mula buat puding karamel ni di kampung ayah belajar dengan arwah Mak Noli. Arwah yang sememangnya sangat berbakat membuat pelbagai jenis kek dan pastri tidak pernah jemu menurunkan ilmu kepada kami anak-anak saudara. Bukan setakat puding ini sahaja, red velvet, tart nenas, chocolate moist, semperit dan banyak lagi resepi yang sempat Akak belajar sebelum arwah meninggalkan kami sekeluarga pada tahun 2015 akibat kanser paru-paru.

Semoga dengan perkongsian ini dapat menjadi sedekah bagi pihak arwah yang pergi tanpa meninggalkan zuriat. Sebelum arwah pergi, beliau ada berpesan untuk memanfaatkan segala apa yang dipelajari. Dengan ilmu itu juga Akak menjual kek dan pastri selama hampir 2 tahun. Al-Fatihah (dibaca) untuk arwah.

Bahagian yang paling mencabar adalah penyediaan karamel itu sendiri. Kebanyakan kita mencairkan gula dengan mengacau sehingga keperangan sebelum menambahkan air. Satu teknik yang Akak belajar semasa menonton Food Network Channel adalah dengan menambahkan sedikit air kedalam gula dan biarkan ia mencair sendiri dan menjadi perang. Gunakan api perlahan dan JANGAN sekali-kali mencuba untuk mengacau gula tersebut. Ia akan menjadi berketul dan berbutir seperti sira kuih keria.

Setelah nampak tanda-tanda perang dibahagian tepi periuk, boleh letakkan air sedikit menggunakan sudu atau silicone brush di bahagian itu untuk mengelakkan gula menjadi hangus dan hitam. Setelah itu boleh goyangkan sedikit periuk untuk meratakan pemanasan . Setelah warna bertukar perang keemasan, bolehlah tutup api dan alihkan dari dapur serta merta. Boleh tambahkan sedikit air dan garam untuk menurunkan suhu.

resepi puding caramel
Resepi Puding Karamel menggunakan sukatan cawan

Satu petua dari arwah, untuk mendapatkan tekstur puding yang smooth, gunakan bekas stainless steel atau ceramic dan ramekin. Ini membantu pemindahan haba secara sekata dari bekas kepada puding. Elakkan bekas plastik kerana haba tidak sekata dan menjadikan tekstur puding bergelembung dan tidak cantik.

Selain itu, gunakan kaedah Bain Marie adalah lebih elok daripada kukus biasa. Ini adalah kerana suhu wap adalah lebih tinggi dari suhu air panas. Ini menjadikan puding dimasak secara perlahan dan tidak mendidih lalu membentuk gelembung udara. Kaedah Bain Marie adalah dimana bahagian dasar bekas direndamkan secara terus kedalam air panas dan dimasak dengan suhu perlahan. Boleh gunakan ketuhar ataupun dapur biasa.

Ini hasilnya setelah dimasak selama 45minit ke 1 jam. Smooth kan? Jika menggunakan bekas kecil seperti di atas, boleh kurangkan masa kepada 30 hingga 45 minit sahaja.

Hasil puding karamel menggunakan kaedah Bain Marie

Setelah dibiarkan seketika berada di suhu bilik, bolehlah disimpan ke dalam peti sejuk selama sekurang-kurangnya 2 jam. Kemudian boleh dihidangkan dengan menterbalikkan puding ke dalam pinggan.

Nikmatnya terasa apabila rasa manis lemak puding bergabung dengan rasa pahit karamel tadi. Dengan tekstur yang cair dimulut dan sejuk di tekak. Fuh!! Tak sedar dah habis sedulang puding. Dirumah Akak memang sekali makan sahaja dah habis ni.

Selamat mencuba!

Wassalam.

#dapurkaknonie


Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Google photo

You are commenting using your Google account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s